Pages

Monday, March 14, 2016

Ziarah Menyambil Santai Mata


Assalamualaikum,



Bluebonnet

Hari ini hujan lagi macam hari semalam.  Menurut ramalan kaji cuaca hari akan hujan hingga hari Sabtu ini.  Alhamdulillah.. rahmat, tidak mengapa.  Hujannya kadang-kadang lebat, kadang-kadang renyai dan ada kala berhenti hujan, begitulah.  Juga sejuk macam semalam.  Pak Long ingatkan hari ini pergi ziarah Barry.  Beliau tidak pernah lupa menziarahi sahabatnya Barry setiap minggu.  Mak Long betul-betul hormat dengan sikapnya itu.  Setianya beliau pada setiap sahabat-sahabat karibnya.  Tidak pernah Pak Long merunggut atau mengeloh tentang mereka semua.  Sentiasa sedia memberi bantuan bila diperlukan, tidak payah mereka meminta-minta.  Mudah-mudahan akan terusan begitu.  

Kadang-kadang Mak Long berasa malas juga hendak menemaninya ke sana.  Perjalanan satu jam pergi dan satu jam balik.  Itu bukankah tanggung-jawab isteri untuk sentiasa disamping suami? Mak Long mengingatkan diri sendiri.  Keperluan suami perlu diutamakan dahulu dari diri sendiri.  Bukanlah bermaksud tidak puas hati...  Masaalahnya ialah persoalan untuk menunaikan tanggung jawab diri kepada Ilahi.  Tiada ruang di bilik kecil Barry untuk itu.  Juga berasa tidak selamat dan was-was.  Buat solat jamah dilakukan setiap kali hendak ke situ selepas masuk Zohor.  Semuga Allah ampunkan kami dan permudahkan urusan.  Inilah antara ujian yang sering dihadapi berada di negara di mana penduduknya rata-rata orang kafir!  

Mak Long sedih melihat Barry.  Banyak perubahan pada sikapnya.  Semuga ia tidak berputus asa berusaha untuk pulih.  Sejak kemalangan sudah hampir genap setahun berada di pusat pemulihan dan masih belum nampak perubahan berkesan.  Pertuturannya lemah masih sukar difahami.  Belum boleh mengatur langkah, tangan kanannya lemah tidak digerak disebabkan "stroke".  Doktor tidak dapat memastikan "stroke" berlaku sebelum atau selepas kemalangan motorsikal... tidak diketahui.  Dia tidak boleh ingat.  Setiap kali kami melawatnya beliau hanya duduk atas katil sambil menonton TV sekali pun ada tetamu.  Mungkin beliau letih selepas latihan yang diberi oleh jururawat bertugas agaknya, bujuk hati sendiri.  Apabila TV dibuka tetamu yang datang seperti terpaksa menonton TV juga.  Tidak seronok begitu bila bercakap pun mata tertumpu pada kaca TV.  Mintak-mintak Barry segera sembuh boleh bergerak sendiri walaupun dengan berkerusi roda.  Kerusi rodanya sentiasa tersadai dalam bilik air. Tidak tahu berapa kali setiap hari kerusi roda itu digunakan.  Kami pasti pihak pembantu di pusat pemulihan itu menjalankan tugas terbaik mereka kepada setiap penghuni di situ. 

Mak Long selalu tanya kerana ingin mengetahui sejauh mana kemampuannya bergerak sendiri tanpa bantuan.  Jawabnya "I'm still working on it.  I will be walking again...!. you'll see.." , kadang-kadang jelas pertuturannya, kadang-kadang buat kami terkebil-kebil cuba memahaminya.  

Hari ini kami sampai ke tempat Barry lambat sedikit.  Senyum lebar bila kami sampai, nampak ceria.  Katanya tiga hari lepas doktor bagi suntikan rawatan "Botox" pada tangan kanannya yang tidak mampu bergerak itu.  Mak Long ingatkan botox itu hanya untuk rawatan muka agar tampak cantik dan gebu!  Hahaha.... Menurunya sudah ada perubahan sedikit.  Senyum lebar dia sambil mengangkat tangan kanannya tayang kepada kami semua.  Alhamdulillah....   Wahai Barry, pulihlah cepat agar mudah pergerakan harian mu.

Sebenarnya Pak Long sengaja ikut jalan jauh melalui Johnson City dan Frederiskburg untuk ke sana.  Hendak melihat-lihat kalau bluebonnet sudah berbunga kata Pak Long.  Memang setiap tahun kami ke sana menyusur jalan menikmati kembangan bluebonnet.  Johnson City ialah tempat kelahiran bekas president Amerika Syarikat yang ke 36, iaitu President LB Johnson.  

Bluebonnet
Cantik kawasan yang kami lalui iaitu kawasan "ranch".  Kawasan "cowboy".  "Ranch" ialah kawasan ladang ternak yang beratus ekar luas, landskapnya berbukit, padang ragut dan lurah untuk ternakan lembu, kambing dan biri-biri untuk daging dan bulu.  Bluebonnet masih belum banyak kembang lagi.  Mak Long senang dengan suasana di situ.  Jalanraya sempit dan berliku, indah dan tenang. 


Kedamaian dicari

Ayam belanda hutan

Kami nampak sekumpulan ayam belanda hutan.  Nampak jinak macam burung punai, tetapi klok! klok! mereka lari jauh.

Santai



Lembu berkeliaran merata, setengahnya tiada pagar.  Ada kala Pak Long terpaksa berhenti beri laluan kepada lembu lalu.  Istimewa lembu itu kan!  Binatang ternakan di situ adalah lembu, kuda dan kambing.  Binatang tersebut mempunyai tanda logo di badan mereka dipanggil "branded lifestock".  Logo itu menunjukkan tanda hak milik ternakan kepada "rancher" atau penternak.  Mudah dikenali apabila hilang atau dicuri.  Kaedah membuat tanda itu adalah dengan membakar besi berlogo penternak hingga panas menyala, kemudian dicap pada badan binatang... lembu, kuda atau kambing.  Mesti bisa punya rasanya...!  Kaedah itu dilakukan sejak dahulu lagi hingga sekarang.  Kini satu kaedah "freeze branding" lebih digemari kerana kaedah ini tidak menyakiti binatang yang ditanda.



Gambar dari Google

Inilah cara mengecap logo pada lembu.


Gambar dari Google

Logo yang sudah siap dan pulih di badan lembu.

Gambar di bawah ialah cattle guard.  Cattle guard juga dipanggil Texas gate berfungsi sebagai penghadang binatang ternakan dari keluar dari kawasan ragut.  Menghadang mereka dari pergi ke kawasan lain.  Cattle guard juga dibina untuk menghindar binatang dari menghampiri kawasan jalan keretapi.  Cattle guard dibina seperti jambatan menggunakan besi seperti dalam gambar.  Dengan sendiri binatang tidak berani melintas  jambatan itu.


Cattle guard/Texas gate














4 comments:

  1. ASSALAMUALAIKUM maklong semoga maklong sihat sejahtera hendaknya disamping paklong ya
    mesti dah santai kan masa ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Kak Noor,

      Terima kasih doa untuk kami, semuga Kak Noor dan keluarga pun begitu jua hendaknya.

      Delete
  2. As salam. Menarik baca cerita mak long ni! :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam,

      Terima kasih sudi jengok blog Mak Long. Mak Long pun suka sangat melawat blog Kasih Limar terutama ruang resepi.

      Delete