Pages

Friday, April 10, 2015

Nota Perjalanan Ke Utara Amerika (Hari Ketiga)

Assalamualaikum,

Malam tadi suhu sejuk mencecah antara 25-28 degree feranheit.  Bagi setengah orang sejuk-sejuk sedaplah tidur.  Walaupun hotel ini duduknya di tengah-tengah Bandar Moad, tidak pulak bising hinggar bingar kenderaan yang lalu lalang.  Mak Long tidak berapa nyeyak selalu terjaga.  Mungkin badan berasa letih dan berubah tempat.  Pukul lima pagi mata tidak boleh tidur, maka baik bangun sahajalah.   Suhu pagi tidak berubah.  Selepas menunaikan kewajipan dan bersedia untuk menghadapi hari ini, kami jalan kaki bersarap di Pancake Hous letaknya bersebelahan dengan Moab Hotel Downtown.  Ramai bersarapan di situ.  Di hotel itu tidak menyediakan sarapan kepada tetamu hotel.




Pagi ini agenda kami padat dengan rancangan melawat "Arches National Park", Moab, Utah.  Arch itu maknanya dalam bahasa Malaysia ialah gerbang kalau tidak silaplah.  Taman ini tidaklah jauh sangat dari tempat penginapan kami cuma lebih kurang 4 batu jauhnya dan terletak di sebelah utara Moab.  Ingatkan kami terawal sekali.  Kami sampai di sana lebih kurang pukul lapan pagi.  Rupanya sudah ramai pengunjung yang sudah sampai terlebih dahulu.  Warga emas masuk percuma, orang muda kena bayar.  Arches National Park adalah sebuah taman seluas 76,679 ekar dan ia unik di mana seluruh kawasan mengandungi formasi batu berbentuk gerbang semulajadi, gunung batu merah, plateau, lurah kering dan kikiran batu yang jadi berbagai bentuk dan rupa.  Ia mengandungi lebih 2,000 buah "sandstone arches" semula jadi termasuk gerbang terkenal di dunia dinamakan Delicate Arch.  Mak Long tidak dapat muat turun gambar di sini.  Sebahagian besar gambar yang diambil menggunakan kamera yang perlu di muat turun melalu komputer.   Gambar di atas adalah pintu masuk ke Arches National Park.




Gambar ini dulunya adalah lautan garam.  Apabila pergerakan gempa dan bencana alam, bumi di situ dulunya lautan dan airnya jadi kekeringan meninggalkan formasi sedemikian rupa.  

  



Kami masuk di simpang menuju ke gerbang Delicate.  Tempat letak kereta sudah penuh, tiada peluang hendak menyelit-nyelit dan pihak taman membenarkan penggunjung meletak kereta di tepi jalanraya.  Kami dapat satu tempat untuk letak kereta non jauh di hujung jalan tepi semak.  Jadilah tu asalkan dapat tempat.  Kami terpaksa berjalan jauh menuju ke gerbang tersebut.  Belum apa-apa lutut sudah mula berasa sengal hmmmmm...  Papan tanda di tepi sebelah bangunan bilik air menyatakan Delicate Arch letaknya satu batu lebih dari di mana kami berada.  Perjalanan berjalan kaki memanjat bukit tinggi mengambil masa lebih kurang 20 minit memanjat dan 20 minit berjalan turun.   Pak Long tanya kalau Mak Long sanggup mendaki bukit itu.  Alang-alang sudah sampai apa lagi panjatlah.  Adoii panjat bukit!  Bukit batu mendatar naik, mujurlah batu itu tidak tajam dan tidak ada banyak batu kecil-kecil.  Berasa keras betis dan lengoh lutut Mak Long macam rasa panjat 100 aras anak tangga.  Tetapi rasanya sangat berbaloi panjat bukit itu walaupun tinggi!   Kami panjat pelan-pelan hampir setengah jam mungkin lebih lagi barulah sampai di atas di mana gerbang itu terletak.  Beberapa lama duduk tengok gerbang dan lebih dari tiga puluh minit lagi berjalan macam siput turun ke bawah.  Penat tetapi seronok tambahan cuaca sejuk membantu rasa kesegarannya memberi tenaga.  Sekiranya melakukan aktiviti begini kita mesti memakai kasut yang sesuai agar mudah dan lebih selamat.  Bawa bekal air untuk minum membasahi tekak kering. Tengahari kami makan biskut kering sahaja dengan air mineral.  Bagus jugak ni, boleh diet sikit hihihi...  Banyak juga Mak Long tangkap gambar.  Insya Allah bila pulang ke rumah nanti akan muat turun di komputer.




Kami beredar dari situ dan teruskan lawatan kami melihat gerbang-gerbang lain.  Kami diberitahu sebanyak empat puluh tujuh gerbang telah rebah semenjak tahun 1977.  Bukan kerana dirobohkan, tetapi oleh kerana fakta formasi yang semakin lemah oleh keadaan alam iaitu hakisan angin terutamanya. Hampir pukul tiga barulah kami beredar keluar dari taman, itu pun tidak habis kami tengok.  Dari situ kami menyusur di sepanjang jalan tepi Sungai Colorado.  Cantiknya ciptaan Illahi dan bersyukur diberi Nya peluang dan rezeki menikmati ciptaan yang sungguh indah lagi unik.  Itulah kebesaran Allah.  Gambar di atas dinamakan "Sand Dune Arch".  Pasir halus berwarna merah menghampar bumi setebal seperti pasir terdapat di tepi pantai.




Sampai di suatu tempat Pak Long cakap, "this road will take us to Colorado.  Would like to go there?"

"No, you may want to turn around now!" Jawab Mak Long.  Diketawakannya kita!  Pak Long terus juga pandu kehadapan di mana jalan semakin sempit, merbahaya, bengkang bengkok, turun dan naik memanjat di lereng kaki gunung yang masih bersalji di puncaknya.  Yang buat Mak Long bertambah risau ialah jalan itu tiada apa-apa papan tanda awas atau menunjuk arah jalan. Beberapa tempat di tepi jalan salji itu masih bertepek-tepek berlonggok memutih bersih. Silap haribulan gaung dalam di bawah sana menunggu!  Pahpalis...diselisihkan!  Pak Long nampaknya lebih berhati-hati memandu kereta terutama ketika mengelilingi selekoh tajam.  Setelah beberapa lama berkeadaan begitu akhirnya barulah perjalanan menurun dan barulah ada papan tanda menunjuk arah ke jalan besar (lebuhraya).   Suasana di pergunungan itu memang indah tidak mampu hendak bayangkan keindahan itu.  Gambar-gambar yang diambil pun tidak sama, tidak seindah dan seperti kelihatan sebenar dari kaca mata.  Ada juga beberapa gambar yang diambil dengan iPad dan dapat dilakarkan dalam blog ini.  Setengah itu adalah gambar yang diambil dengan iPad.



Alhamdulillah kami selamat sampai ke hotel.  Kepala Mak Long sakit dan pening.  Telan asprin baru kurang pening.  Perut pula lapar minta diisi.  Petang itu kami jumpa restauran Thai dan di situlah kami makan... Nasi beras perang, sayur dan tahu masak kari hijau...pedas tetapi sedap.




Ingatkan selepas makan kami terus balik hotel dan rehat.  Pak Long ajak tengok-tengok jalan di Scenic Byway.  Jalan raya itu selari di sepanjang Sungai Colorado hala sebelah timur.   Di sini terdapat ramai penggunjung berkemping di pinggir sungai juga di kaki gunung batu.  Seronok juga nampaknya kemping ni.  Petang-petang ramai anak-anak muda beraktiviti lasak seperti memanjat dinding batu gunung seperti gambar di atas.  Cuba tengok betapa kecilnya kenderaan itu di sisi gunung gergasi.




Di dalam hati Mak Long berkata-kata "Betapakah kuat bunyi dentuman dari gunung-gunung gergasi ini runtuh bergulung, berlipat apabila berlakunya hari kiamat nanti...tidak dapat hendak bayangkan! Allah hu akbar!.....  Ampunkan dosa-dosa kami ya Allah......"







6 comments:

  1. AllahhuAkbar...

    Betapa kerdilnya kita berbanding dengan ciptaan Yang Maha Berkuasa...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tulah..bila Mak Long tengok gunung-gunung tu kemudian bandingkan pada sebuah truck besar..nampak truck tu macam satu titik ajer di kaki gunung.

      Delete
  2. Allahuakbar...pemandangan yg sangat mempesonakan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar, sesuatu yang sebelum ini tidak dapat hendak bayangkan keindahan ciptaan Nya.

      Delete
  3. asalamualaikum mak long..apa khabar....suka sangat tangkapan maklong kali nie macam dalam cerita koboi...huhuhu...

    allahuakhbar...tak dapat yan bayangkan luruhnya batuan2 tu macam air ujan agaknya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Yan. Hahahaha ini kan negeri koboi. Cuma tak terjumpa koboi tunggang kuda dengan senapang di belakang dia jer tak jumpa-jumpa.

      Gambar tidak dapat membayangkan keindahan yang ditangkap dari kaca mata kita Yan.

      Delete