Pages

Tuesday, February 24, 2015

Nota Emak


Assalamualaikum,

Emak,


Diam tidak diam sudah masuk dua minggu lebih Mak Long berada di tanah air.  Cepatnya masa berlalu, tidak terkejar kita.  "Jet-lag" atau mabok pernerbangan jauh lagi teruk kali ini bila umur sudah meningkat tua.  Seluruh badan berasa sakit-sakit dan letih.  Orang Muar kata badan rasa "bebera" iaitu rasa hendak demam dan tidak sihat.  Waktu siang mata tidak boleh hendak buka, rasa hendak tidur tidak tertahan-tahan.  Malam pula mata segar bugar tidak mahu tidur.  Orang tidur, mata kita celik terkebil-kebil.  Tapi ada juga munafaatnya kalau tidak boleh tidor malam.  Dapat juga buat solat sunat waktu malam.   Minggu pertama berada di rumah Busu adik bungsu di mana Emak berada iaitu di Segambut, Kuala Lumpur.  Hujung minggu kami bawa Emak pulang ke kampung di Muar.  Kata Busu sudah lama Emak bertanya bila hendak balik kampung.  Busu sentiasa sibuk dengan tugas yang bertimbun bergunun terutama di akhir setiap bulan.  Kadang-kadang terpaksa bawa kerja balik rumah.  Kesihan Busu.

Alhamdulillah, kini keadaan bertambah baik, badan pun berasa segar dan bertenaga sedikit.  Selera makan pun laju tambah-tambah ada lauk sambal keketuk sudah cukup.  Hai.... Naik tembam debablah nanti....  Duduk dalam bandar besar begini bermasaalah hendak cari tempat beriadah di luar.  Kena pergi bawak kereta dahulu ke tempat beriadah itu pun terpaksa berlumba-lumba dengan kesibukan ribuan kenderaan di jalanraya.  Lebih baik tidak payah, duduk rumah buat senaman mudah-mudah.  Aduhai sibuknya bandaraya Kuala Lumpur.  Pemandu-pemandu kenderaan pula bersikap ganas "aku dulu!  Aku betul!  Aku penting...!  Pekerja asing pula memenuhi setiap sudut bandar seperti dilihat di KLCC.  Mereka merosakkan image bandar dan kawasan.  Ada ke mereka lepak-lepak main/mandi air pancut pulak!  Apa sudah jadi?

Di kampung pula sudah ramai pekerja bangsa asing yang bekerja di gudang berhampiran.  Waktu-waktu makan atau habis kerja mereka memenuhi jalanraya hingga menyusahkan orang hendak lalu lalang.  Mereka ini menyusahkan penduduk tempatan dengan pelbagai masaalah dan jenayah.  Dulu jarang kita dengar kecurian atau kes pecah masuk rumah.  Kini macam setiap hari berlaku.  Rumah Emak pun pernah dipecah masuk rumah tahun 2011.  Mujur umur kami masih panjang, Allah jaga walau pisau sudah di leher kami.

Keadaan Emak semakin uzur.  Dua puluh empat jam di atas katil pembaringannya.  Terpaksa dipakaikan pampas sepanjang masa.  Itu pun terpaksa dipujuk supaya memakainya.  Emak tidak suka pakai pampas.  Kami faham tidak selesa berbalut dengan pampas itu.  Itu pun selalu aja Emak minta suruh buang pampas yang dipakainya.  

Makannya tidak seberapa.  Makan makanan lembut yang mudah hadam tetapi beliau hendak makan selalu.  Masih boleh duduk untuk makan dan minum.

Emak tidak larat dan tidak kuasa menguruskan dirinya sendiri.  Emak memerlukan bantuan dan penjagaan sepanjang hari.  Walaupun begitu Emak tidak pernah merunggut tentang keadaannya.  Air mata Emak selalu bergenangan apabila anak-anaknya memberi bantuan untuk keselesaannya.

Hari-hari Mak Long mandikan Emak.  Kusemangat, mengambil masa juga hendak angkat Emak duduk di kerusi roda untuk disorong ke bilik mandi.  Kena pujuk, kena sayang-sayang dulu.  Emak keberatan hendak mandi.  Emak mandi duduk atas kerusi roda khas.  Mandikan dengan air suam.  Dulu Emak tidak suka rambutnya disyampu.  Hari ini tiada masaalah.  Mak Long gosok seluruh tubuhnya perlahan-lahan dengan tuala kecil bersabun wangi.  Mak Long lakukan dengan berhati-hati supaya tidak menyakitinya. 

Mak Long urut perlahan dan basuh kakinya yang hanya tinggal kulit berkedut dan tulang.  Kaki inilah yang telah meredah semak dan belukar dibasahi embun di pagi hari ke kebun menoreh getah mencari rezeki.  Kaki ini hanya beralaskan sepasang sepatu usang yang sudah berlubang di bahagian tumid.  Emak tidak pernah merunggut terpaksa membanting tulang membantu Wak menambah pendapatan keluarga.  

Mak Long bersihkan seluruh tangannya pula.  Tangan inilah yang menyuapkan rezeki ke mulut kami bila kami lapar di zaman kami kecil-kecil dulu.  Kedua tangan inilah yang telah merawat, mengusap dan mengendung kami apabila kami sakit.  

Tulang empat kerat inilah dengan berbekalkan sekeping hati yang cekal bercita-cita tinggi demi masa depan anak-anaknya hidup senang.  Emak telah berkurban segalanya membesarkan kami enam orang adik beradik dengan penuh semangat dan kasih sayang.

Emak suka bila rambutnya disisir rapi.  Ikat ekor kuda atau sanggul kecil tinggi di tengah kepala fesyen sanggul Sultanah Johor dulu-dulu.  Sapu bedak memutih di muka macam kundur.  Apabila segala sudah selesai Mak Long hadiahkan ciuman di pipi dan dahinya.  Emak suka dan selalu senyum.

Ohh .... Emak segala pengurbanan mu tidak mampu dibalas dan tidak mampu dilupai.  Kami sayang pada mu, Emak.  

Syurga kita di bawah telapak kaki ibu.  Selagi termampu insya Allah kami adik beradik akan terus berbakti kepada Emak yang hanya seorang.     Emak......




Gambar Emak di tengah memangku Mak Long.  Gambar lama berpuluh tahun dulu...
















13 comments:

  1. Assalamu'alaikum Mak Long...

    Sebak kakcik membaca catatan ini. Teringat sewaktu hayat bapa masih ada, kakcik berpeluang menjaga waktu beliau sakit. Memandikannya di katil (hanya lap dengan air sabun dan kemudian air bersih), sesekali mengangkatnya ke bilik air... 10 hari di hospital, dan bila dibawa balik ke rumah tak sampai sehari beliau pergi buat selama-lamanya...

    Innalillahhiwainnailaihirojiun....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Kakcik. Syukur alhamdulillah Kakcik pun berpeluang berbakti pada bapa. Begitulah kita sebagai anak bertanggung jawab untuk menjaga kedua orang tua kita apabila mereka sudah tidak mampu mengurus diri sendiri. Al Fatihah untuk arwah bapa Kakcik

      Delete
  2. :-(( sebak baca coretan kali nie..arap mak diberi kesihatan yang baik..amin....

    mak long budak lelaki yang cekak pinggang tu sapa..pertama kali tengok gambar lama...pandai juga org dulu2 bergaya bila ambil gambar :-)) yan suka tengok gambar nie

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Yan kerana doakan untuk Emak. Orang muda yang bercekak pinggang itu adalah arwah adik Emak. Wanita yang berdiri kurus tinggi itu arwah kakak sulung Emak dan duduk sebelah itu arwah adiknya. Cuba tengok kasut yang mereka pakai tu, fesyen masa tu sudah ada kasut tumit tinggi macam sekarang. Beg tangan pun kan!

      Delete
  3. Mak Long,

    Terasa hiba membaca coretan Mak Long tentang ibu. Pengorbanan ibu amat besar. Memang tidak dapat dibalas sehingga kita mati. Saya kira Mak Long masih beruntung kerana masih punyai ibu untuk sedikit sebanyak menghiburkan hatinya dengan menyantuninya. Peluang yang diberi Allah di mana ramai yang telah ketiadaan ibu akan mendambakannya. Begitu juga saya yang telah ketiadaan ibu dan bapa.

    Harapan saya semuga ibu Mak Long hidup bahagia menurut kesesuaian cita rasanya dan dalam keadaan beriman dalam menanti hari dipanggil Allah swt. In syaa Allah. Aameen...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih PakMail. Benar kata PakMail itu. Alhamdulillah dengan kesyukuran tidak terhingga, dapat juga berbakti kepada Emak sebaik mungkin. Membela orang tua yang uzur kadang kala menemui beberapa dugaan. Tetapi itulah satu dari cara Allah mengguji kesabaran kita. Alhamdulillah..

      Delete
  4. Assalamualikum Mak Long...
    salam ukhuwah dan salam hujung minggu dari Bunda...

    Seronok membaca kisah dulu2...sebak pun ada...
    Semoga Mak Long sehat2 selalu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Bunda dan terima kasih banyak kerana sudi membaca catatan Mak Long yang tidak seberapa. Harapan Mak Long juga Bunda dan keluarga sihat dan sejahtera. Kebelakang ini belum berkesempatan untuk membaca coretan dari blog sahabat-sahabat.

      Delete
  5. La...mak long kat malaysia ka? btw mak long kalau ada di kl, tolong bagitahu...boleh saya kumpul 2-3 untuk jumpa...my email is ali.shahrir@gmail.com looking forward to seeing you mak long!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehe Uncle, Mak Long dah selamat sampai ke Texas dan suami sudah tunggu dengan setia di pintu ketibaan malam tadi (7th March, 2015). Sampai Houston jam 4.30 petang dan sampai rumah 9.30 malam. Insya Allah, di lain masa mudahan dapat kita dan sahabat-sahabat blog lain bertemu dan mengopi.

      Delete
  6. Salam Mak Long .Lama dah saya tak berinteraksi dengan Mak Long.Tentu Mak Long ingat ingat lupa saya Sharol anak kelahiran Sg.Bilah yang pernah Mak Long jejak pada tahun tahun 70 an dulu.Apa pun saya mengucapkan syabas dan salute kepada Mak lLong yang terus berbakti kepada Bonda kandong ,walaupun telah berada jauh di perantauwan.Saya berdoa agar kehidupan Mak Long sekeluarga di berkati ole Allah SWT dan berharap apa yang Mak Long lakukan itu menjadi contoh ikutan jenerasi muda sekarang.Salam Hormat dari saya dari JB.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Sharol,

      Mak Long masih ingat Sharol. Apa khabar? Amin, terima kasih doakan kami. Mak Long juga doakan agar Sharol dan keluarga semua dilimpahi dengan kesejahteraan dan rahmat dari Nya. Tanggung jawab kita sebagai anak adalah menjaga dan membantu ibu bapa kita sebaik mungkin. Tambah-tambah lagi anak lelaki tanggung jawab itu memang dituntut. Bagi anak perempuan pula bila sudah ada suami, hendak berbakti kepada ibu bapa mesti meminta izin daripada suami dahulu. Bila sudah jadi ibu bapa maka tanggung jawab kitalah pula menanamkan sifat itu kepada anak-anak kita.

      Delete
  7. Salam Mak Long,

    Saya ni cuma silent reader, terjumpa secara tak sengaja blog mak long, sekali baca terus jatuh cinta dan sekarang marathon dari awal...tiba entry ni hati sangat sebak...emak mak long sangat beruntung mendapat anak seperti mak long...saya tak sempat berbakti dengan emak kerana dia pergi ketika saya masih kanak kanak..al-fatihah

    Mak long teruskan menulis ye...ada antara entry mak long sangat saya suka baca terutama tentang keadaan kehidupan di luar negara.

    Wassalam

    ReplyDelete