Pages

Tuesday, December 9, 2014

Nota Redah Punya Redah

Assalamualaikum,

Hari ini kami ke Bandar San Marcus selepas temujanji pemeriksaan pendengaran anak telinga Pak Long di sebuah klinik.  Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, Pak Long bertanya kalau Mak Long mahu cuba berjalan kaki di suatu tempat yang disediakan oleh pihak perbandaran berhampiran di situ.  Tempat tersebut dipanggil Purgatory Park.  Setiap kali kami lalu di kawasan itu nampak orang berjalan kaki dan mengayuh basikal.  Tentulah suka kerana berjalan kaki setiap hari sekurang-kurangnya setengah jam memang satu rutin yang Mak Long sentiasa lakukan.  Tambahan hari ini belum ada kesempatan berjalan lagi.  Untuk kesihatan, maklumlah banyak urat yang sudah kendur!

Sampai di tempat tersebut ada papan tanda menunjukkan beberapa lorong yang boleh diambil mengikut kehendak sendiri.  Setiap lorong menunjukan simpang dan jarak jauh perjalanan.  Kami pilih lorong yang pendek kira-kira satu batu sahaja.  Pergi dan balik jadi dua batu jauh berjalan, dalam agak-agak kami akan mengambil masa lebih kurang setengah jam.

Walaupun cuaca sejuk kami tidak perlu pakai jaket panas.  Semuanya itu tinggal dalam kereta.  Biasanya bila sudah mula berjalan, darah dalam badan sudah mula panas mengalir laju, badan akan berasa panas.  Buat beberapa ela dari permulaan jalan kaki keadaan lorongnya penuh berbatu-batu, menyebabkan kami terpaksa melambatkan langkah.  Kami berselisih dengan seorang dua yang juga berjalan kaki seperti kami.  Sampai di satu simpang kami bertemu pula dengan tiga orang pelajar kolej.  Mak Long tanya sekiranya jalan di sebelah kiri boleh dilalui kerana lorong itu ada pintu gate berkunci.  "Yes, yes..... you can go through it..".  Lorong itu bentuk seperti batas, lebih tinggi di mana di kiri kanannya ditambak dengan batu-batu besar menyukarkan untuk memanjat atau turun ke bawah.

Jadi kami pun teruskanlah juga berjalan kaki.  Sampai di pintu gate nyata pintu itu bermangga tetapi di sisi pintu besi terdapat kesan laluan.  Kami pun redahlah di laluan itu.  Rumput di lorong itu tinggi melepasi lutut Mak Long.  Kiranya dalam musim panas, keadaan begitu bahaya, kita mesti berhati-hati kerana ular suka berlengkar terutama "rattle snake".  



Lorong berjalan kaki


Pintu gate berkunci!


Pemandangan cantik di kiri kanan lorong.  Daun-daun kebanyakan sudah gugur ke bumi mengubah pokok menjadi botak, tetapi masih ada lagi pokok di mana daun-daun berwarna-warni cantik masih melekat di ranting dan dahan.  Kaki Mak Long sudah mula berat hendak melangkah, penat rasanya.  Jam menunjukan langkah kami sudah pun lebih tiga puluh minit tetapi kami tidak nampak simpang arah jalan balik ke tempat asal.  Jalan jugalah dan di satu tempat kami bertemu sepasang pelajar sedang menunggu anjing mereka memanjat batu-batu di lorong itu.  Kesihan anjing itu tidak mahu memanjat batu, dia duduk sahaja di bawah walaupun tuannya memanggil keras memaksa dia memanjat di mana mereka berada.  Anjing penakut!  

Tidak berapa jauh dari situ kami terpaksa meredah satu lagi pintu gate berkunci yang juga terdapat kesan laluan di sisi pintu gate itu.  Masih tiada simpang kelihatan untuk ke tempat asal.  Teruskan juga berjalan...... hingga berhadapan dengan satu lagi pintu gate berkunci.  Yang ini tiada kesan laluan untuk memboloskan diri.  Akhirnya, Pak Long suruh Mak Long panjat pintu itu dahulu sementara beliau memegang membolehkan Mak Long memanjat keluar sebelah sana.  Hah!  Boleh panjatlah makcik tua ni.. boleh lagi panjat tinggi... buat Mak Long tersenyum lebar.  Keluar sahaja dari pintu gate itu kami dapati kami berada di sebuah kawasan perumahan yang tidak pernah kami masuk.  Beberapa buah rumah baharu masih dalam pembinaan.  Kami tidak pasti di mana kami berada.  Sesat dah!  Sekarang kaki Mak Long memang sudah tidak larat lagi.  Terpaksalah berjalan juga, tetapi Mak Long tidak merunggut.  Kami berjalan di kawasan itu menuju hala bunyi lalu lintas.  .... Beberapa minit kemudian akhirnya kami dapat jalan keluar di pinggir bandar San Marcus setelah memanjat, menyusur pagar dan parit.  Hampir dua jam!  Meraban entah kemana kami berdua ni macam budak-budak...

Tekak pula terlalu dahaga.  Kopi yang Mak Long beli dari bandar tadi masih tidak diminum sebab tidak sedap!  Minum jugalah untuk lepaskan dahaga....  Itulah hendak berjalan sangat akhirnya sesat!  Main redah sahaja...








No comments:

Post a Comment