Pages

Thursday, September 11, 2014

Nota 'Idilfitri 2014


Assalamualaikum,

Catitan Harian


'Idilfitri 2014

Tarikh bagi rakyat Malaysia menyambut Shawal telah ditetapkan pada 28hb Julai, 2014.  Orang Islam di Amerika mula berpuasa mengikut tarikh dan hari yang sama dengan rakyat Saudi Arabia.  Rakyat Malaysia pula berpuasa sehari selepas Saudi Arabia dan Amerika berpuasa bermakna rakyat Malaysia berpuasa hanya 29 hari.  

Kami sepakat akan pulang ke Kampung Jorak, Muar iaitu kampung halaman kami di Johor untuk menyambut hari raya 'Idulfitri bersama-sama keluarga yang lain.  Mai bercadang bertolak awal pagi selepas Subuh dan berharap jalan raya tidak sesak dengan trafik.  Malam sebelum bertolak, kami bersiap terlebih awal dengan memuatkan barang-barang yang hendak dibawa pulang ke dalam kereta.  Penuh kereta....entah apa-apa yang Mai muatkan macam hendak pindah.  Kalau lori agaknya penuh juga diisi.  Beg pakaian Mak Long hanya sebuah beg kecil sahaja.

Menguruskan Emak untuk bertolak mengambil masa lebih panjang dari yang dijangka.  Tidak mengapalah!  Yang penting Emak selesa.  Sesungguhnya Allah menguji kesabaran kami dua beradik.  Tetapi alhamdulillah segalanya dapat kami lakukan sebaik mungkin dan termampu oleh kami sendiri.

Di perjalanan sudah banyak kenderaan lain yang berlumb-lumba memandu laju seolah-olah mereka tidak ada hari esok!  Mujurlah Mai tahu mengikut jalan dalam walau pun jauh sedikit dari melalui jalan lebuh raya biasa.  Emak sedikit pun tidak tidur sepanjang perjalanan.  Sekali sekali Emak bertanya "tang mana kita ni....?"  Kebanyakan orang Malaysia memandu kereta terlalu laju dan memerbahayakan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.  Malah ada juga mereka itu bersikap kurang sopan dan kasar.

Kami sampai di kampung hampir jam sepuluh pagi.  Adik Mak Long Daril dan keluarganya sudah menunggu kepulangan kami.  Rumah Emak sudah dihias cantik dan bersih.  Langsir baru berwarna hijau gelap diganding dengan kain kasa putih jarang sejuk dan damai mata memandang.  Along adik ipar Mak Long berkerja keras membersih dan menghias rumah menimbulkan suasana meriah raya.  Seterusnya hari itu kami sekeluarga sibuk membuat persediaan untuk jamuan di hari raya, anyam ketupat, masak rendang dan sebagainya.  Seronok .... adik beradik bersama keluarga masing-masing dengan anak-anak buah mula pulang berkumpul di bawah satu bumbung.  Rioh rendah gelak ketawa dengan keletah anak-anak buah maklumlah bila sudah berkumpul sama, buat Emak tersenyum terhibur melihat cucu-cucunya.  Rumah Emak di kampung berseri kembali dengan kehadiran ahli keluarga.  Lampu-lampu terang menghias rumah sedang anak-anak pula gembira bermain mercun.

Suara takbir berkumandang di TV membuat hati kecil terusik sayu kerana Pak long dan empat dari anak-anak tidak dapat bersama merayakan hari yang mulia.  Tidak dapat bersama kerana ada yang bertugas dan jauh di luar negara juga ada yang mempunyai giliran untuk beraya di rumah sebelah mentua.  Namun hati kecil tetap berasa hiba dan cuba menahan sebak di dada.  Semuga yang tidak dapat bersama-sama juga dapat menjiwai hari kemulian ber'idilfitri.  

Mak Long awal lagi sudah bersiap sedia untuk ke Mesjid di kampung menunaikan solat sunat Syawal.  Anak muda Mak Long HQ nampak segak dengan pakaian baju Melayu siap bersongkok hitamnya sudah bersedia untuk membawa Mak Long ke masjid.  Sampai di masjid, ramai muslim dan muslimah, tua dan muda sudah berada di sana menanti untuk bersolat.  Penuh masjid hingga ke tangga ada orang bersolat.  Ramai juga saudara mara yang ditemui di masjid.  Antaranya emak saudara Busu Peah, Mak Melah, sepupu Biah, Kak Milah dan lain-lain.  

Imam mesjid Pak Haji Othman satu-satunya insan tertua di kampung mengimamkan jemaah.  Suaranya terketar-ketar membaca ayat-ayat alquran tetapi penuh khosyok dan bersemangat.  Subhanallah.......  

Selesai solat raya kami pulang ke rumah di mana ahli keluarga sudah menunggu kami untuk bersalaman dan bermaafan.  Semua terutama anak-anak sudah tidak sabar-sabar mahu menikmati juwadah yang telah kami sediakan bersama.  Sebagai anak sulung Mak Long diberi penghurmatan pertama dari keluarga melutut menghulur sepuluh jari mohon ampun dan maaf dari Emak.  Emak merenung lama dan mata kami bertemu.  ".... Tak ada-apa salah ko.  Emak dah ampunkan semua dosa-dosa anak-anak".  Aduhai mulianya hati Emak.  Emak menciup kedua pipi dan dahi Mak Long dan kami berpelukan.

Sesungguhnya tidak dapat kami membalas segala kasih sayang, budi dan pengorbanan Emak yang dicurahkan kepada kami.  Segala yang dilakukan untuk kami, tidak pernah Emak minta balasan.  Wajah Emak kelihatan tenang tetapi air matanya berlinangan ketika kami bergilir-gilir melutut di hadapanya mohon ampun dan maaf.  Dalam hati Mak Long tertanya-tanya .... Apalah agaknya yang sedang berlegar dalam pemikiran Emak? Apakah getaran dalam sanubarinya? .  Gembirakah, sedihkah atau berserabut hingar bingar dengan kehadiran kami…. entahlah sukar diertikan.  Yang sudah tentu Emak pasti  berasa bersyukur dikelilingi oleh zuriatnya yang semakin bertambah ramai.  Dulu Emak berdua dengan arwah Wak.  Kemudian ditambah lima orang anak (kami), tambah lagi dengan cucu-cucu.  Dari cucu tambah pula bercicit....

Sudah menjadi kebiasaan menyambut raya di hari pertama adalah yang paling sibuk.  Anak-anak buah dan saudara mara Emak dan arwah Wak datang tidak berhenti-henti hingga ke malam.  Mak Long tidak kemana-mana hanya sibuk membantu tetamu yang berkunjung.  Kebanyakan Emak sudah tidak kenal lagi saudara mara yang datang terutama yang lapis-lapis muda.  Banyak kali Emak bertanya "Siapa engko…..?  Anak sapa engko…?"   Mak Long perhatikan Emak mula nampak letih setelah sehari suntuk menerima tamu.  Sudah sampai masa untuk Emak merihatkan diri di katilnya.  Akhirnya Emak tidur keletihan dan beberapa orang yang datang kemudiannya tidak dapat bercakap dengan Emak.




Selamat Hari Raya 'Idilfitri
Maaf zahir dan batin









No comments:

Post a Comment