Pages

Saturday, March 8, 2014

Nota Penerbangan Emirates


Assalamualaikum,


Tiket penerbangan Mak Long pulang ke Malaysia telah ditetapkan pada 11hb Januari, 2014.  Kali pertama Mak Long menggunakan khidmat pesawat Penerbangan Emirates.  Biasa-biasa Mak Long guna perkhidmatan pesawat SIA yang dikelola dan berasal dari Singapore.  Pak Long memberi pandangannya eloklah tidak menggunakan pesawat SIA kali ini dengan cuaca musim sejuk yang tidak menentu.  SIA biasanya berhenti di Moscow, Russia untuk muat dan tukar pesawat sebelum terus terbang ke Singapore dan seterusnya tukar lagi pesawat ke Lapangan Terbang di KLIA.  Pernerbangan boleh jadi tergendala apabila cuaca buruk seperti ribut salji melanda atau salji di landasan menebal di lapangan terbang menyebabkan dan bermasaalah bagi pesawat-pesawat mendarat atau berangkat terbang.  Sebenarnya baharu tiga bulan Mak Long pulang dari Malaysia.  Tetapi kepulangan kali ini kerana menerima berita Emak tidak sihat dan adik-adik tidak dapat menjaga Emak yang sedang uzur.  Mereka sibuk dengan tugas kerjaya dan keluarga masing-masing.  Mak Long tidak kerja dan ada masa untuk membantu Emak.  Pak  Long juga menggalakkan agar Mak Long pulang segera membantu Emak ketika masih ada peluang untuk berbakti pada Emak yang memerlukan bantuan.  Sesungguhnya Mak Long sangat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kerana Pak Long memahami dan membenarkan Mak Long pulang membantu Emak.

Pada hari Mak Long bertolak, Pak Long menghantar Mak Long ke Lapangan Terbang Antarabangsa George Bush, Houston lebih awal; tidak tahu bagaimana keadaan lalu lintas pastinya.  Perjalanan dari rumah kami ke Houston dengan kenderaan biasa mengambil masa lebih kurang empat setengah jam.  Dua buah beg besar penuh dengan oleh-oleh untuk keluarga di Malaysia yang berat dan sebuah beg bimbit tidak senang mengendalinya.  Banyak bawa buah tangan untuk keluarga di kampong.  Begitulah biasanya bila balik kampong.  Nasib baik Pak Long ada dan membantu.  "Check-in" tiada masaalah dan selepas semuanya beres Mak Long terus masuk ke bahagian pemeriksaan keselamatan.  Seperti biasa keadaan di sini sungguh melecehkan dan mudah hendak naik darah ke tahap menggunung tinggi.  Keadaan di sini selalu kelam kabut dengan pelbagai perangai manusia.  Wahai hati sabarlah.....  Bukannya apa, orang-orang ni, sudah tahu hendak kena periksa bersedialah lebih dahulu.  Ini tidak, sudah sampai giliran untuk diperiksa baharu terhegeh-hegeh hendak buka kasutlah, bukak jeketlah, keluarkan camera dan computerlah … hish!  Leceh sungguh!  Walhal awal-awal lagi pihak pertugas sudah mengarahkan untuk bersedia.

Selepas pemeriksaan keselamatan Mak Long terus ke balai menunggu.  Ramai penumpang dari pelbagai pelusuk sudah sedia menunggu masa untuk masuk ke pesawat masing-masing untuk berlepas.  Teringin juga hendak membeli buku atau majalah sebagai bahan bacaan.  Sayangnya lapangan terbang ini kecil tidak ada banyak pilihan untuk membeli bahan bacaan.  Kedai menjual barang tanpa cukai pun hanya sebuah sahaja. Bagus lagi KLIA!  Sudahnya Mak Long tidak beli apa pun tanbahan harga barang mahal di sini.   Mak Long cari tempat berhampiran dengan pintu masuk untuk ke pesawat Emirates.  Kiri kanan kerusi yang Mak Long duduk kosong.  Di situlah Mak Long melaboh sambil membuka iPad untuk mengisi masa menunggu.  Tiba-tiba seorang wanita hmm besar juga orangnya duduk menghempas punggung lebarnya di belah.  Rasa melambung jugalah kerusi yang Mak Long duduk itu.  Mak long buat tak tahu sahaja sambil terus main game dari iPad.  

"Excuse me maam, do you know why some people walk to that counter?". Wanita itu tina-tiba  bertanya Mak Long sambil menunjukkan jarinya arah meja penerbangan pesawat Qatar.  Jawab Mak Long "I heard the announcement that those who have connecting flight from other airlines to go to Doha have to re-check for their boarding pass....".
   "Ooo… Sorry for interupting your game.."

"That's alright…..I was just passing time.."  sambil menutup iPad dan masukkannya kedalam beg bimbit.

"Where are you flying to?", tanya Mak Long ingin tahu lebih lanjut tentang wanita tersebut.

"Oo .. I am going to Tehran in Iran .. and transit in Doha".


"Are you from Iran?,  Mak Long tanya lagi kerana heran juga seorang wanita dari Iran boleh berjalan jauh sendirian tanpa muhrim.


"Ya, I come here for a few weeks visiting my brother.  He wants me to migrate here but if I do that I won't be able to return to Tehran ever again to see my families…"  terangnya.  "Those radical crazy people will kill anyone without mercy….You don't want to come to Tehran.  It is not safe for everyone especially tourists!" katanya lagi sambil mencebikkan bibirnya.

"But you travel…. Do they allow you to wear like this over there?" melihat wanita itu berpakaian gaun berlengan pendek dan tanpa hijap kepala.


"Ooo once I arrive over there I will have to wear long jackets like this one and cover my head…." jawabnya.


Perbualan kami terhenti apabila pengumuman dilaungkan untuk penumpang-penumpang pesawat Emirates dijemput masuk ke dalam pesawat.  Mak Long bergegas dan beratur ke lorong yang disediakan untuk masuk kedalam pesawat.  Pesawat penuh dan ramai sungguh penumpang berbangsa Arab dan India ke Dubai.  Di mana sahaja orang Arab berada memang susah sesiapa pun hendak mengawal bangsa ini.  Degil dan bising!  Puas juga pramugari hendak mengawal dan menyuroh mereka duduk di tempat masing-masing terutama apabila ada gangguan awan dalam penerbangan.  Mamat-mamat Arab itu gemar sungguh bersidai keliling tempat pramugari-pramugari berkerja menyediakan jamuan untuk penumpang-penumpang.  Macam-macam perangai.. hendak tangkap gambarlah, hendak minumlah.  Hai.. tidak dapat berihatlah nampaknya dalam penerbangan ini.


Penerbangan sampai di Dubai sedang baik masuk waktu Subuh.  Besar juga surau yang disediakan oleh pihak lapangan terbang.  Ada bilik mandi jika penumpang perlu dan bilik wuduk khas untuk wanita juga selesa.  Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai besar dan cantik.  Macam-macam barang berjenama bebas cukai ada dijual dan pamiran yang menarik.  Kedai barang kemas emas dan batu permata juga ada dijual, harganya pun mahalah bila sudah duduk dalam peti kaca cantik.  Sempat jugalah membeli buah tangan untuk Anna yang akan datang menemui Mak Long bila sampai nanti.  Mak Long ada satu jam setengah di situ sebelum meneruskan pernerbangan dan selamat sampai di KLIA tepat jam lapan pagi.  Adik bungsu Mak Long, Mai terlambat beberapa minit berada di ruang menunggu kepulangan Mak Long.  Alhamdulillah… selamat sampai.  Adik Mai membawa Mak Long balik ke rumahnya dahulu untuk menyegarkan badan dan tukar pakaian kemudian baharulah kami bertolak terus ke kampung di Muar, Johore.





Emak (1989)







2 comments:

  1. Asslm anak cucu Tunggal Saleh Bin Nahu @ Naung...salam perkenalan...hamba ini anak cucu Ismail bin Yusuf bin Tunggal Saleh..tifla@gmail.com.my

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam dan salam perkenalan jua dari Mak Long.

      Delete