Pages

Saturday, March 15, 2014

Jemputan Kawin, Makan Nasi Minyak Muar

Assalamualaikum

Malam itu selepas menikmati makan malam kami sekeluarga duduk berkumpul di hadapan TV.  Emak tidak kesah apa pun, duduk di atas katil yang kami sediakan khas untuknya di sebelah tingkap.  Sebuah TV disediakan untuk Emak supaya beliau dapat menonton bila-bila suka.  Biasanya Emak suka menonton hal-hal ceramah agama.  Menonton gelagat raja lawak, entah siapa namanya Mak Long pun tidak tahu.  Along, adik ipar Mak Long mengelekek geli hati melihat gelagat pelawak dituruti Idah anak perempuannya.   Mohd Daril, adik Mak Long nampak menyeringaikan gigi, pasti geli hati juga agaknya.   Dua orang dari anak buah lelaki Mak Long pula sibuk mengemaskan dan menjadual buku-buku sekolah.  Becok sungguh mereka bercakap, bising entah apa yang dibecokkan pula ditambah dengan gelak ketawa hingga tidak terdengar apabila seseorang memberi salam di luar.   Daril menjawab salam sambil bergegas membuka pintu hadapan.  

"Waalaikumsalam……., ehh Utehhhhh..  Jemput masuk Teh.. tak dengar bising tadi..."  Tetamu tersebut ialah Uteh Satar pangkat dua pupu Mak Long.  Umur kami tidak jauh berbeza.  Uteh Satar lebih kurang dua atau tiga tahun lebih tua dari Mak Long.  Uteh Satar, adik beradiknya dan arwah emaknya Busu Chik tinggal di Kampung Seberang Kolam.  Kami pergi sekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Jorak sama.   Lama juga kami tidak bertemu.  Uteh Satar hanya bekerja kampung.  Macam-macam kerja dibuatnya untuk menyara keluarga dan beliau mempunyai banyak kelebihan dan kebolehan dalam beberapa bidang kerja.  Antaranya ialah tukang kayu membuat rumah, tukang masak untuk kenduri kendara untuk masyarakat kampung, menangkap ikan dan udang dari Sungai Muar untuk jualan dan macam-macam lagi.  Uteh Satar juga pernah membuat rumah untuk keluarga kami di Bumi Hijau, Kuala Lumpur.  Hasil kerja tangannya sungguh halus dan berkualiti.  Isterinya Rokiah dan kami panggil Mak Teh seorang yang lemah lembut dan berbudi bahasa tinggi dan peramah.  Kalau datang ke rumahnya air teh kosong manis dan panas mesti ada untuk kami.  Keluarganya banyak membantu kami dan kami menghormatinya.


Uteh Satar Dan Mak Uteh Ror

"…. Eeehh Mak Long pun ada!  Bila balik?"  sapa Uteh Satar mesera apabila ternampak Mak Long.  Dalam kalangan keluarga tidak kira tua atau muda, mereka semua menyantun Mak Long dengan panggilan Mak Long.  Seronok juga dengan panggilan itu.  Terasa lebih mesera begitu.

"Dah seminggu lebih, Teh... Apa kabo keluarga semua?" jawab Mak Long guna logat Kampung Jorak.

"Alhamdulillah semua sihat, Mak Long...." .katanya.  "Uteh ni datang ada hajat dari keluarga…....", sambungnya lagi sambil melabohkan dirinya di kerusi yang Daril sediakan untuknya.  "...... Kami nak buat kenduri kawin, Mak Long, Ril...  Tarikhnya pada 1hb dua (Februari).  Uteh jemput semu ahli keluarg kita di rumah ni datang ke rumah kami meraikan pernikahan Kak Longnya…….  Jangan tak datang yer Mak Long…"

"Insya Allah….  Orang mana lawannya, Teh?  Terima menantu pertamalah nie yer?"

"Dari Perak…...jauh beno tempatnya.  Dah ke situ jodohnya, Mak Long… nak buat macam mana..?  Orang sebelah pulak nak nyambut pada 6 haribulan dua nie .. lat (jarak masa) tak berapa hari jer…. Budak-budak nie semua kerja, susah nak dapat cuti sama tarikh…..dah tu pulak Kak Long mengajo di Johor....bakal suaminya pulak kerja di Kuala Lumpo ... Entah macam manalah nanti...…. sorang selatan sorang lagi di sana.  Mintak-mintak salah sorang dapat tukar bior dapat bersama….".  Keluh Uteh Satar.  "....nak ikutkan tarikh tu kurang sesuai kerana Che Gu Said pun nak buat kerja kawin juga pada 2 haribulan tu pulak.  Jadi kalau ikut pakatan kampung kite ni, kita tak boleh buat kenduri pada tarikh yang telalu dekat sebab masaalah penggunaan barang dan alat rantam (alat-alat yang dikongsi bersama seperti khemah, periok belanga, pinggan mangkok masyarakat penduduk kampung).  Orang tukang masak pun tak boleh nak kite guna sebab ada dua buah kenduri tarikh berdekatan.  Jadi saya tak guna barang-barang rantam.  Nasib baik orang kampung sebelah Mak Teh dah saggup nak bantu semua… tu yang buat kat Kampung Sungei Terap…." jelas Uteh Satar panjang lebar.

Pada 1 haribulan tarikh kenduri kawin anak Uteh Satar, ketika Emak tidur Mak Long bersama adik bungsu Busu Mai mengambil peluang pergi meraikan kenduri kawin dan makan nasi minyak Muar.  

Pengantin Baru 

Uteh Satar Dengan Puteri Sulungnya




Dua hari selepas Uteh Satar datang menjemput kami ke majlis perkahwinan anaknya, pagi-pagi lagi kami sudah terima tetamu.  Mereka ialah Che Gu Said bersama isterinya terdiri di hadapan pintu bahagian rumah tengah.  Daril, anak-anaknya sudah ke sekolah maka tingallah Mak Long berdua dengan Emak.  Mak Long persilakan mereka masuk ke ruang tengah rumah sambil bersalaman dengan isterinya.

"Apa kabo?"  belum sempat Mak Long jawab sudah ditanya bila balik…

"Alhamdulillah baik-baik saja.  Jemput duduk Cik Gu, kak…." sambil Mak Long tunjukan kerusi terdekat.

"Tak pe, tak pe…. kami nie sebenarnya ada hajat nak jemput semua ahli keluarga di rumah nie.  Kami nak buat majlis perkahwinan anak bungsu kami pada 2hb Februari yang kita adap (hadap) nie.  Jemputlah datang yer… ehhh Emaknya pun ada di sini juga ya!  Tadi tak perasan… Emak tak berapa sihat yer?…" sambil menghulul tangan untuk bersalam dengan Emak.

"Emak tak berapa sihat dan dah tak kuat lagi….." Jelas Mak Long.

"Yelah Emak nie dulu sungguh rajin bekerja, kuat bekerja siang malam cari rezeki…. Dah tiba masa Emak berihat….." kata Cik Gu Said.

"Beno….. tulah kami bergilir-gilir jaga emak sekararang…"

"Alhamdulillah…….."

Begitulah keadaan penduduk di kampung Mak Long hingga ke hari ini.  Masih mengamalkan cara hidup bergontong-royong seperti dulu-dulu apabila ada sahaja jiran-jiran yang memerlukan bantuan.  Tolong menolong antara satu sama lain.  Apabila ada orang kampung hendak mengadakan kenduri kendara biasanya orang yang berhasrat membuat kenduri itu biasanya jemputan dibuat melalui mulut sahaja, tidak menjemput dengan kad jemputan seperti yang lazim berlaku di hari ini.  Mereka akan menyusur dari rumah ke rumah menjemput dan menggumumkan berkenaan kenduri tersebut.






















No comments:

Post a Comment