Pages

Saturday, March 23, 2013

Nota Jalan-jalan Di Padang Pasir Arab Saudi (IV)

Assalamualaikum,





Suatu hari Khamis iaitu hari kelepasan Pak Long tidak kerja, kami mengambil peluang untuk jalan-jalan menjelajah di padang pasir yang luas panas kontang lagi tandus.  Hari itu cuaca seperti biasa panas mencecah lebih 115F lebih.  Mak Long sudah sediakan dengan beberapa botol air kosong untuk bekalan dalam bekas besar bertutup ("cooler") berisi air batu, tidak lupa juga sedikit makanan ringgan.  Dalam cuaca panas kita perlulah banyak minum air kosong supaya dapat menyejukkan badan dan menghindar dari kekeringan.  Kekurangan air dalam badan adalah sangat merbahaya untuk kesihatan, antaranya badan akan berasa letih tidak bermaya.  Lebih-lebih bahaya lagi boleh menyebabkan mendapat strok haba ("heat-stroke").  Seseorang yang mendapat strok haba biasanya ia tidak sedar diri atau pengsan disebabkan haba dalam badan tidak seimbang.  Selepas waktu subuh tidak panas kami bertolaklah singgah sebentar untuk mengecap sarapan pagi di kedai makan Kudus... minum kopi panas dengan lempeng (pan cake).

Pasar Lambak Di Padang Pasir

Kami tidak menentukan arah mana hendak dituju hanya ikut naluri rasa sahaja.  Betul-betul main terejah sahaja.  Kami sampai di suatu pekan yang ketika itu ada pasar lambak.    Ramai juga orang berkerumun di situ.  Sahabat kami Batti Al Qathani memberitahu sekiranya ingin melihat pasar lambak pergilah pada hari Khamis awal pagi sebelum matahari mula panas terik.  Penjual biasanya orang-orang Baduwi (Bedouin) dari pendalaman menjual barang-barang kraf hasil kerja tangan mereka seperti pakaian, permaidani, bakul, kain selimut, kurma dan lain-lain.  Ada juga orang India, Pakistan dan Bangladesh yang turut sama berniaga.  Macam-macam ada.  Tidak lama kami di situ dan tidak pula membeli apa-apa.

"Dhub"
Kami teruskan perjalanan lebih jauh lagi di kawasan pendalaman.  Keadaan padang pasir sungguh panas, lapang tanpa sebarang perlindungan.  Tiada pokok, tiada rumput, tiada air hanya sinaran matahari yang tegak membakar padang pasir dan yang ada di bawah sinaranya.  Namum kuasa Allah yang maha berkuasa, maha esa lagi maha luas pemerintahannya, walau setandus mana sekali pun keadaan di padang pasir masih ada yang boleh hidup dan bernyawa dengan keselesaan tersendiri seperti binatang "dhub", unta dan sebilangan kecil binatang lain.  Kami dapat melihat seekor "dhub" sedang merayau di atas pasir panas kemudian ia terus lari membenamkan dirinya ke dalam pasir sebelum sempat Mak Long merakamkan gambarnya.  Warna badannya menyamari warna padang pasir dan sedikit susah melihatnya kalau ia tidak bergerak.  Warnanya akan bertukar gelap kebiruan apabila cuaca gelap.  Orang Arab makan "dhub" tetapi bagi Mak Long kalau ada makanan lain biarlah tidak payah makan "dhub".  Bagaimana dengan daging unta?  Pernah makan?  Ya... Mak Long  pernah makan sekali.  Di pasar ada menjual minyak "dhub" sebagai minyak urut dan sapu.  Kata orang bagus minyak "dhub" untuk menyembuk beberapa penyakit.

Bayangkan betapa azab dan sangsaranya hidup di sini tanpa kemudahan asas yang kita nikmati setiap hari.  Di benakan fikiran Mak Long membayangkan bertapakah kehidupan mereka pada zaman dahulu kala yang penuh keperitan, kesusahan dan cabaran.  Perjalanan dari satu tempat ke suatu tempat lain hanya dengan menunggang unta atau keledai tidak seperti sekarang sudah ada jalan yang bagus dan berbagai kenderaan cangih lagi laju.  Mereka sanggup meredah kepanasan di padang pasir memenuhi tanggung jawab mencari rezeki untuk keluarga tersayang di samping memohon keredhaan dari Allah.  Sanggupkah kita hidup begitu?

Kemah Di Padang Pasir

Kami sampai di suatu tempat dan keadaannya seperti perkampungan kecil dengan beberapa kemah tempat tinggal.  Beberapa tong berisi air ditempatkan berhampiran kemah. Ingin juga mengetahui apakah nama tempat ini tambah tidak ada papan tanda diletakkan.  Hendak bertanya tidak pula pandai berbahasa mereka.  Batti mengingatkan supaya berhati-hati di tempat-tempat begitu kemungkinan nanti menempah bahaya yang tidak diundang.  Sebenarnya Batti ada mengundang Pak Long ke kemah bapanya di tengah padang pasir jauh.  Mak Long tidak pergi kerana undangan ini hanya untuk orang lelaki sahaja.  Bapanya memiliki banyak binatang ternakan unta dan kambing.  Biasanya hari-hari cuti akhir minggu mereka berkumpul, berihat, bersembang sambil menikmati masakan daging ternakan yang disembelih serta minum kopi arab dan teh panas, ada juga yang suka menghisap rokok!.


Kemah Tempat Berkumpul

Perjalanan kami semakin jauh ke pendalaman di padang pasir.  Jalanraya biasa sahaja dan sangat berdebu.  Dari jauh kami nampak seorang lelaki sedang menunggang unta.  Tidak berapa jauh darinya pula terdapat beberapa ekor unta lagi berkumpul.  Di kawasan yang lain pula kami lihat  unta-unta itu ditempatkan di dalam kandang berpagar.  Pagar-pagar itu pula nampaknya tidak berapa kukuh buatannya.  Tidak larikah unta-unta itu keluar dari pagar? Mungkin penternak tidak berasa risau .. unta mereka tidak akan lari dari kandang itu, entah Mak Long agak sahaja.  Batti memberitahu kami unta berwarna putih harganya lebih tinggi dari unta berwarna coklat atau warna gelap.  Tidak pula diterangkan mengapa unta putih lebih mahal harganya.

1.  Penunggang unta dengan anak unta
2.  Kandang unta
3.  Kini tidak kira di mana, talipon bimbit mesti ada!
4.  Unta dalam kandang
5.  Bilang unta putih tidak banyak
6.  Unta berehat


Hari hampir petang dan kami mulakan mencari jalan arah pulang ke Al Jubail.  Ketika itu angin pula mulai bertiup, mulanya tidak kuat.  Bebarapa minit kemudian semuanya berubah menjadi lebih kuat seperti ribut.  Kami tidak nampak sekeliling selain dari debu tebal dan bunyi hujan kasar menghujani kereta kami.  Pak Long berhentikan enjin kereta dan kami duduk memerhatikan di sekeling kami.  Kuatnya angin, ribut pasir rupanya.....  Kereta pun terasa bergoyang ditiup angin.  Dalam keadaan ribut dan suasana yang tidak jelas kelihatan tiba-tiba perhatian kami tertumpu di hadapan.  Kami nampak seseorang sedang berusaha mengumpulkan se kumpulan unta menyeberang jalan dalam keadaan huyung hayang dalam cuaca buruk itu.  Mukanya dibalut dengan kain melindungi dari pasir dan habuk mengenainya.  Wahai .. kesihanya, siksa hidup di padang pasir.   Lebih kurang dua puluh minit baharulah keadaan angin mulai reda dan pulih perlahan-lahan.  Kami teruskan perjalanan hala pulang dan alhamdulillah kami tidak sesat mencari jalan pulang.  


Ribut Padang Pasir













No comments:

Post a Comment