Pages

Wednesday, August 8, 2012

NOTA PUTERI BUNGSU MAK LONG PULANG

Sudah beberapa hari Mak Long lepak, berasa malas dan sedikit letih berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia tahun ini.  Cuaca musim panas kali ini mencecah lebih 100 degree F hampir setiap hari.  Walaupun begitu Alhamdulillah Ramadhan tahun ini Mak Long dapat menunaikan ibadah dengan tabah dan kesabaran.  Dapat juga Mak Long menunaikan beberapa ibadah untuk diri.  Biasanya setiap pagi selepas bersahur dan solat Subuh Mak Long membaca email yang tiap-tiap hari berlambak sampai entah dari kawan-kawan dan kenalan dari alam maya.  Mak Long seronok dan leka membaca dan melihat gambar-gambar cantik yang dipaparkan mereka.  Sekurang-kurangnya membantu menghilangkan sedikit rasa rindu dan sayu kepada keluarga dan kampung halaman tercinta.  Sudah banyak tahun Mak Long tidak dapat berhari raya di kampung halaman.  Setiap kali balik Malaysia tidak terkena bulan-bulan Ramadhan dan Syawal.  Mak Long merindui Emak yang sedang uzur.  Mak Long merindui anak-anak tersayang setiap masa.  Di sini walaupun tidak berapa jauh jaraknya rumah dengan puteri bungsu, Mak Long tidak juga dapat bersama dengannya setiap hari.  Setiap hari hati Mak Long diulit perasaan rindu, rindu, rindu semuanya!!!

Beberapa hari lalu puteri bungsu beritahu Mak Long ... puteri bungsu hendak balik di hujung minggu.  Hati Mak Long suka sangatlah dengar anak kesayang hendak balik.  Mak Long fikir hendak masak masakan kegemarannya.  Mak Long buatkan kari puff dan popia kemudian dibekukan supaya dapat dibekalkan nanti bila dia balik ke rumahnya semula.  Macam-macam bahan makanan kering sudah Mak Long sedia dan simpan untuk puteri bungsu...beras, cili kering, madu, pasta dan lain-lain.  Hati ibu selalu risau dan tidak mahu puterinya berperut kosong bila berjauhan.  Maklumlah kalau sudah berjauhan macam-macam perasaan mendatang di benakan.  Allah sahaja yang tahu.   Mak Long tidak berdaya hendak memberi lebih dari yang mampu untuk perbelanjaannya dan saraan hidupnya di sana.  Juga mengharapkaan puteri bungsu belajar hidup berpada-pada dan cuba berdiri di kaki sendiri.  Itupun sangat bersyukur kerana masih ada yang sanggup membantu kami di rantauan.

Kemudian bila hujung minggu berhampiran, puteri bungsu memberitahu dia tidak dapat pulang lantaran banyak kerja (projek sekolah katanya) masih berlambak perlu dilaksanakan.  Katanya lagi, kalau dia balik hujung minggu ini nanti hari raya dia hendak balik lagi.  Habis duit minyak sahaja katanya...hmm.  Walaupun begitu Mak Long faham dan menghormati keputusannya walaupun hati ini mulai hampa sedikit.  Tidak mengapalah sambil memujuk hati esok-esok baliklah.  Mak Long sentiasa maafkan anak-anak ..nanti hari raya baliklah tu.  

Tengahari Jumaat, tiba-tiba pintu diketuk beberapa kali.  Mak Long ingatkan suami saja-saja mengusik dan tidak Mak Long hiraukan.  Pintu dibuka....di depan pintu hala-mak tercegat gadis manis puteri kesayangan Mak Long dengan senyuman manis meleret..... Puteri bungsu Mak Long sudah pulang!  Oh!  Tidak perasan air mata gembira membasahi pipi...  Puteri bungsu Mak Long pulang.  Syukurlah kepada ILLAHI yang maha mengetahui dan maha mengesihani...

ALLAH HU AKBAR!  ALLAH HU AKBAR!





Puteri Bungsu kesayangan 




No comments:

Post a Comment